Tuesday, October 27, 2009

Fiksi Cerpen - Syawal Buat Anis

‘Kalaulah ada insan yang mampu mengukur kesengsaraan diri ini, pastinya mereka akan menangis sebelum mereka tahu penyudahnya kehidupan ini’. Anis mengukir senyuman hiba. Kerana seringkali kehidupan yang dilaluinya, pastinya akan disinari dengan cahaya kegelapan dan kesuraman. Hidupnya umpama tempelan yang langsung tidak bermakna. Hadirnya hanya sekadar untuk menambahkan memori hitam dalam hidupnya sendiri.
Ah! Kalaulah Bang Man masih ada, pasti dia akan sentiasa melihat lelaki itu tersenyum. Dan senyumannya itu tak pernah sesekali dia jemu memandangnya. Kerana baginya, hanya Bang Man yang tahu gelodak perasaan ini. Hanya Bang Man yang paling memahami hati ini. Tapi...
Tapi Bang Man dah tiada lagi. Bang Man hanya meninggalkan secalit memori indah yang pastinya akan sentiasa dikenanginya buat selama-lamanya. Hanya itu yang Bang Man tinggalkan. Bukan harta, bukan kemewahan. Hanya itu, sebuah kenangan serta memori indah yang tidak mungkin akan dapat diciptakannya dengan insan lain. Dan sekarang, Ramadhan telah menjelma, bermakna telah sekian lama Bang Man hilang dari hidupnya. Sudah beberapa bulan, hampir menjejak setahun, Bang Man hilang tanpa khabar berita.
Terbentang luas di hadapannya, dada lautan yang ganas, yang tak pernah kenal erti teman, erti musuh. Segala-galanya akan ditelan. Gelombangnya tak pernah memberitahu bila ia akan mengganas. Bila ribut tiba, gelombang yang selalunya menjadi teman bermain, menadah rezeki telah bertukar menjadi sang musuh yang rela membaham temannya sendiri. Di perut gelombang itulah agaknya Bang Man sedang bersemadi sekarang ini. Entah-entah, di perut jerung ataupun paus!
Dia menarik nafas panjang, melepaskan lelah setelah tak henti-henti wajahnya ditampar angin pantai yang selembut salju, tapi menghiris sekeping hatinya dalam diam. Kau penderhaka! Kau rampas kesenanganku, kau rampas keceriaanku bersama Bang Man!! Tapi petang ini kau cuba berbaik-baik denganku, membelai wajahku seolah kau langsung tak berdosa padaku! Ah!!! Ingin saja dia menjerit kepada lautan yang terbentang luas, kepada gelombang yang tak henti mencecah bibir pantai yang kemutih berseri. Tapi apakah dayanya supaya gelombang berhenti bergulungan, supaya lautan berhenti beralunan, untuk menjadi setenang air tasik yang kehijaun. Mana mungkin! Begitulah juga mustahilnya untuk dia mengembalikan Bang Man, dan kebahagiaannya yang telah sirna.
Setitis air bening jatuh dari kelopak matanya. Pada Bang Man dia sering mengadu duka dan suka. Pada Bang Man jugalah dia sering bermanja. Belaian manja Bang Man tiada tandingannya. Pada Bang Man jugalah dia melepaskan kekesalannya lantaran dirinya yang terlalu jahil dalam agama. Bang Man lah yang mengajarnya, yang mengimaminya bersolat. Dan pada Bang Man lah dia meluluhkan segala rasa taat dan setianya. Hanya pada Bang Man. Tapi sekarang....
Bang Man telah tiada. Gelombang telah merampas Bang Man, membawanya ke perut bumi yang tak bernesan. Itu kata teman-teman setongkang dengan Bang Man. Kata mereka, Bang Man di telan ribut. Rupanya kedegilan Bang Man malam itu benar-benar telah membawa petaka kepada diri mereka.
“Bang... Anis rasa tak sedap hatilah..”
Dia mendekati Bang Man yang sedang menyarung kemeja lusuh lengan panjangnya yang telah sekian lama menjadi uniformnya ketika turun ke lautan. Hatinya cuba menegah. Lagipun sebentar tadi menonton Buletin Utama, laporan cuaca menyatakan lautan bergelombang malam ini. Sudah berapa kali diluahkan keresahannya pada Bang Man, tapi masih belum mendapat reaksi sewajarnya dari Bang Man. Lelaki separuh baya itu hanya berdiam diri sambil mempersiapkan kelengkapannya untuk menempuh gelombang. Lagipun bukan Bang Man tak dengar laporan tv tadi. Dia ada sekali dengan Bang Man. Tapi nampaknya Bang Man masih degil. Masih keras kepala untuk ke laut juga malam ini. Katanya, rezeki sedang memanggilnya di tengah-tengah lautan itu.
“Besok pagilah abang turun ye.. Anis bimbanglah bang...”
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Anis macam tak biasa abang ke laut..”
“Tapi malam ni Anis rasa..”
“Anis... . Jangan fikir yang bukan-bukan...” Bang Man merangkul tubuhnya, memeluk dirinya erat-erat. Belum pernah Bang Man memeluknya sebelum turun ke laut. Dalam dada, bergelombang debaran yang bukan sedikit. Dan saat berpisah di depan pintu, sekali lagi dia cuba untuk menukar hasrat Bang Man. Tambah-tambah bila atap zinknya berdenting-denting terkena gerimis yang telah menjadi seperti kerikil, menghentam atap. Jelas di wajahnya, raut kebimbangan yang teramat sangat.
“Allah!!”
Dia menerpa. Anak tangga kayu yang telah sekian lama reput terpatah dua. Kaki Bang Man terperosok di bawah tangga. Darah merah meleleh dari rongga luka sebesar ibu jari di keting kanan Bang Man.
“Ya Allah abang..”
Dia menangis tersedu-sedu ketika menyapu ubat luka di kaki Bang Man. Dipandangnya seraut wajah Bang Man yang lembut, penuh kasih sayang itu. Dan wajah itu tersenyum padanya. Tak sedar bila masanya jemari Bang Man menyeka air matanya yang masih luruh dari pelupuk mata. Ternyata kebimbangannya mula menampakkan kebenaran. Belum sempat Bang Man melangkah ke jeti, kakinya berdarah. Malah debaran yang makin kuat menendang di dadanya turut sama menceritakan sebuah keresahan yang sama.
Gerimis masih seperti tadi, bagaikan kerikil yang jatuh ke atap, bunyi dentingannya menenggelamkan esak tangisnya yang lembut. Bang Man bagaikan putus asa, langsung tak mahu memandang wajahnya. Dibiarkan saja hatinya meringis sayu. Dan debarannya menjadi bertambah-tambah bila di bawah rumah, terdengar suara Jalil, Ramli, dan kalau tak silap, Tok Jarak memanggil-manggil nama Bang Man.
“Iye.. Iye.. Aku datang!”
Bang Man berkisut sedikit, kemudian bersusah payah untuk bingkas dan menghala ke arah pintu.
Setelah puas memujuk Bang Man, dia hanya mampu bersendirian memujuk hatinya sendiri. Di yakini bahawa keresahan itu hanya sesuatu yang biasa. Sesuatu yang dibawa oleh insan ketiga dalam hidupnya bersama Bang Man...
Insyaallah.. Esok petang Bang Man akan pulang, membawa rezeki yang melimpah ruah. Bang Man pastinya takkan lupa membawa balik pari dan kerapu kesukaan mereka berdua. Kalau Bang Man bawa balik pari, dia akan bakar, kemudian di cecah dengan air asam. Dan kalau di bawa balik kerapu, akan di siang dan di gulaikan. Selebihnya Bang Man akan jual. Bila dapat duit, Bang Man akan tunaikan janji-janjinya. Mereka akan ke pekan, ke kedai Ah Liong membeli perkakas untuk insan ketiga yang bakal menjengah tidak lama lagi....
Insyallah.....

****

Bang Man tipu! Bang Man tipu Anis dan tipu anak di dalam perut ni. Bang Man tak tunaikan janji-janji Bang Man... . Hati pilunya merintih sendirian. Sudahnya setiap petang dia akan menjadi penunggu setia di jeti usang ini. Menantikan kepulangan Bang Man membawa hasil tangkapan yang lumayan. Begitulah selalunya bila Bang Man balik. Tak pernah dengan tangan kosong.
Tapi kata Jalil, Bang Man dah mati. Bang Man terjatuh semasa ribut kuat di Pulau Sentosa. Bang Man yang degil. Itulah kata Jalil. Dalam ribut kuat dan lautan gelora masih mahu menarik pukat yang terburai, tersangkut di dasar berbatu karang.
Ah!! Bagaimanalah agaknya nasib Bang Man. Kata Jalil, Bang Man terjatuh, terhantuk batu karang yang bergerigis, kemudian dikerumuni ular-ular bisa yang mendiami sekitarannya. Dalam ribut menggila itu, Jalil dan yang lain tak kuasa berbuat apa-apa. Gelora dan gelombang perlahan-lahan membawa mereka jauh dari Bang Man yang kala itu sedang bergelut dengan maut. Dan mungkin sekarang, Bang Man telah berkubur tanpa nesan di dasar perut lautan yang seringkali menjadi temannya ini.

Setitis demi setitis air matanya menitis dari kelopak mata, langsung tak dapat ditahan, berjuraian ke pipinya yang cengkung. Ingatannya pada Bang Man terlalu sukar diluputkan biarpun telah beberapa bulan berlalu. Masih disimpulkan erat dalam hatinya, agar Bang Man masih bernafas, masih lagi hidup dan kini sedang menuju kembali ke sini. Diharapkan agar suatu hari nanti, semasa menunggu di jeti, akan ada khabar dari Bang Man untuknya. Kalau tidak pun, Bang Man sendiri yang akan pulang menumpang tongkang-tongkang yang lain. Itulah yang masih setia diharapkannya, masih tersimpul kemas di sudut hatinya.
“Mari balik Anis...” terasa bahunya dipegang dari belakang. Segera di menoleh.
“Mak Lang....” Wajahnya berubah. Mak Lang Jarah berdiri hampir di belakangnya.
“Yang sudah-sudah tu janganlah dikenang-kenang. Man takkan kembali. Dia dah mati. Anis kena terima hakikat tu.”
Hatinya pilu. Semua orang berkata begitu. Semua orang cakap Bang Man dah mati. Tapi mana mayatnya? Mana buktinya Bang Man dah mati? Dia mahukan jenazah Bang Man, mahukan kubur Bang Man untuk memujuk hatinya, yang Bang Man dah tiada. Bang Man dah mati. Tapi...
Ah!! Tak pernah ada yang tahu akan perasaannya.
Dia mengusap perutnya yang semakin membesar. Kemudian membetulkan litup tudungnya yang dikuak angin pantai yang berhembus deras. Matanya berkaca. Sayup-sayup beralun di cuping telinganya, suara azan yang sayu. Segera dipusingkan tubuhnya, bersama Mak Lang Jarah dia menitip langkah pulang.
*****

Malam itu dia bermimpi, Bang Man datang kepadanya, meraup wajahnya penuh kerinduan dan dia memeluk tubuh Bang man erat-erat. Dia meloloskan segala kepiluan dan kerinduannya pada Bang Man. Pada lelaki itu juga diceritakan segala kesengsaraannya. Segala kesusahannya. ‘Sabar Anis.. Anis kena sabar..’ Tak putus-putus Bang Man menasihatinya. Dan tak putus-putus juga dia memohon, merayu dan merintih supaya Bang Man kembali dalam hidupnya. Tapi suram. Bang Man diam membisu. Permintaannya dirasakan terlalu berat untuk Bang Man tunaikan.
Sudahnya dia terjaga, bantal basah dengan air matanya. Teresak-esak dia menahan hiba. Bagaikan masih terasa dakapan erat Bang Man, dan usapan mesranya yang penuh dengan kerinduan. Tak tahan menanggung penderitaan itu, dalam kegelapan dia berbingkas.
Gerimis tiba-tiba menadah ke bumi. Rintik-rintiknya mengenai tubuh. Diusungnya tubuh yang sarat ke jeti usang seratus meter dari rumahnya. Terasa seolah Bang Man akan pulang malam ini.
Di dada jeti, dia melepaskan keresahannya, melepaskan kepiluannya. Dia menangis teresak-esak. Segalanya dilepaskan. Jeti sunyi sepi. Tiada cahaya dari tongkang-tongkang, juga tiada tanda Bang Man akan pulang. Dan sekali lagi harapannya musnah. Namun tiba-tiba tubuhnya mengejang. Kesakitan yang maha dashyat menyerang tubuhnya. Dadanya berombak-ombak. Sambil memegang perutnya yang dirasakan makin sarat. Tak mampu menahan, dia menjerit!
“Mak Lang....!!! Tolong Anis!!!!!”
Dan suaranya tenggelam dalam deru ombak yang menghempas ke pantai...
*****

Mak Lang Jarah meletakkan Muhammad Syawal kembali ke dalam dakapannya. Diciumnya anak kecil itu penuh kesyahduan. Bagaikan mencium Bang Man yang telah pergi. Demi memandang Syawal, hatinya akan tersentuh. Dia bagaikan menatap wajah Bang Man. Iras benar anak kecil itu dengan Bang Man.
Dalam dingin pagi itu, dia melafazkan kesyukuran. Kehilangan Bang Man telah diganti dengan kehadiran Syawal. Dan begitu juga dengan harapannya saat ini, agar kedatangan Syawal tidak lama lagi akan terus membawa rahmat dan kebahagiaan kepadanya.
Dan kepada Bang Man.. Akan tetap ditanamkan kerinduannya yang satu pada lelaki itu. Biarkan
ianya abadi selamanya.
Insyaallah......
TAMAT

Monday, October 26, 2009

Fiksi Cerpen - Cerita Sekeping Hati



Penerbangan Malaysia meluncur tenang di ruang angkasa. Sambil itu saya membelek-belek beberapa majalah yang dibawa bersama dari Kuala Lumpur. Henjut kapal terbang terasa sedikit, tapi tidak sampai menganggu emosi. Terlanggar awan kemutih barangkali. Saya tersenyum sendirian. Namun mujur gegar tadi telah berakhir, walaupun kesannya masih terasa. Dada terasa mual dan resah masih menyerkup jiwa. Mata terpejam seketika, sengaja mahu membuai perasaan yang berkelodak di dasarnya. Hingga saat kapalterbang mendarat di Heathrow saya tidak tersedar. Mengelamun dengan pelbagai kenangan yang bagaikan mengetuk-ngetuk pintu memori. Mujur kapalterbang menghenjut lagi ketika mendarat, barulah saya terjaga.

Ruang Heathrow International Airport yang luas menggamit rasa. Lapangan terbang yang tak pernah sunyi dengan penerbangan yang mendarat dari serata pelusuk dunia itu saya jejaki dengan perasaan yang berbaur-baur.

Saya mengenakan leather coat coklat tua. Terasa kedinginan yang mencengkam dan terfikir harus segera mendapatkan Heathrow Express, tren pengangkut terpantas yang menghubungkan Heathrow dengan Paddington. Dengan bayaran 12 pound sterling saya akan dapat tiba awal di Paddington. Oleh kerana itu saya lebih gemar memilih Heathrow Express lantaran saya sendiri sudah biasa di sini sebelum ini. Kerana itulah Kotaraya London ini tidak begitu asing bagi saya..

Namun di hadapan Heathrow, saya menjadi gamam. Ke mana kaki hendak dibawa? Perlukah saya terus bertemu dengannya? Apa pula katanya nanti...? Mahu terus menyerbu begini? Pelbagai cerita melayang dalam medula kepala. Sekarang mungkin saya masih tenang, bibir masih mampu melukis senyuman. Tapi bagaimana bila bertemu nanti? Tidak tercalarkah emosi ini? Tidak tergugatkah ketenangan? Mampukah ditahan air mata dari jatuh walhal ketika di Malaysia saya sudah berjanji, jangan ada air mata yang jatuh di bumi England ini. Mampukah kata-kata itu dikotakan. Saat ini berbaur rasa ingin pulang saja ke Malaysia.. Akhirnya saya terduduk di sebuah kerusi besi unik berukir yang terletak di sebuah taman berhampiran Heathrow.. Membiarkan fikiran bergeluyur dengan kenangan yang membujur lalu, bertakung dalam kelopak minda...

****

“Kamu dari Malaysia?”

Saya mengangguk dalam keadaan serba-salah. Tiba-tiba saja lelaki berwajah bersih, persis Arabian itu menegur saya. Saya memerhati sekeliling. Mungkin ketua pelajar di sini barangkali. Dalam dada saya melafazkan syukur. Dalam suasana asing sebegini, saya perlukan seseorang untuk memandu arah. Melihatkan wajah saya yang cemas dan resah barangkali, lelaki itu terus mengenalkan diri.

“Saya Presiden Pelajar Luar di universiti ini.”

Saya memerhatikan wajah lelaki itu. Bahasa Melayunya fasih walaupun lidahnya masih berbelit longhat Timur Tengah. Itulah yang membuatkan saya tergamam sejenak. Lalu mengangguk.

“Saya Zhinaen. Awak..??”

“Nur... Nuraine.”

Saya menyambut salamannya yang beralaskan sehelai sapu tangan. Sekali lagi saya tergamam. Ditambah dengan senyuman dari wajahnya yang bersih. Saya makin gementar. Tak tahu apa yang bermain di hati.
****

Teman sebilik saya, Safiah yang berasal dari Lubnan, agak baik perwatakannya, bertudung litup seperti saya juga, walaupun agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Melayu, malah bahasa Inggeris juga tidak selancar, tapi dia terlalu ramah untuk menegur saya. Kadang-kadang keluar bahasa yang saya sendiri tidak faham. Mungkin Bahasa Lubnan barangkali.

Kami ditempatkan di sebuah kondominium di Somerset House, berhampiran Lancester Street yang selalu sibuk. Itupun atas usaha Zhinaen. Dialah yang bersusah payah mencarikan saya sebuah bilik sewaan yang murah.

Daripada Safiah, saya mengetahui serba-sedikit berkenaan universiti yang bakal saya duduki ini. Dan juga serba-sedikit tentang Zhinaen. Entah mengapa lelaki itu acapkali bergeluyur dalam ruang fikir saya. Namun wajah Safiah berubah apabila saya menyoal tentang Zhinaen. Seperti ada yang tak kena.

“Kamu kenal Zhin?”

Saya mengangguk.

“Jangan..”

Safiah menggeleng-gelengkan kepalanya seperti memberi isyarat sesuatu kepada saya.

“Kenapa?”

“He’s dangerous..”

Walaupun sedikit tersentak, tapi saya tertawa dengan jawapan Safiah. Dalam hati menyimpulkan itu cuma jenaka Safiah. Barangkali gadis itu juga menyimpan perasaan pada lelaki itu? Ahh!! Terlalu awal untuk meneka....

****

Sebuah surau yang dibina di kawasan kondo yang menempatkan para pelajar ini sentiasa dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang rata-ratanya dari timur tengah. Cuma saya dari Malaysia.

“Assalamualaikum..”

Saya tersentak bila tiba-tiba saja ada suara yang memberi salam kepada saya. Zhinaen yang berketayap putih sedang tersenyum dibelakang saya. Saya berpaling. Safiah terus berubah wajah. Dia cuba menarik lengan saya supaya segera berlalu dari situ.

Menyedari yang saya enggan mengikutnya, dia segera berlalu. Saya menjadi hairan dengan sikap Safiah. Seperti ada yang tak kena dengan gadis itu. Setelah Safiah berlalu, Zhinaen mempelawa saya duduk dan berbual-bual dengannya. Dan daripada perbualan itulah saya mengetahui yang dia berasal daripada Istanbul, ibu negara Turki. Leka sekejap berbual-bual dengannya. Isu di Timur Tengah terburai keluar. Taleban yang begitu provokasi dengan anutan pure Islamiahnya kata Zhinaen, begitu menyesakkan. Sampai mereka digelarkan The Islamic Treat. Kafir dipandang hina, masyarakat Islam terkongkong dalam dunia tersendiri. Taleban anggap semua benda di luar ruang lingkup pemerintahan mereka haram belaka. Teringat pula di Malaysia. Kelantan digelar serambi Mekah, tapi pemimpinnya asyik bercakaran. Mana mungkin menjadi sebuah negeri Islam yang sempurna.

“Kami orang Islam di Turki hidup tidak seperti orang Islam di Malaysia. Seperti yang anda tahu, orang Turki kebanyakkannya tidak mahu mengakui yang mereka adalah sebenarnya orang Asia. Mereka kata mereka orang Eropah… Kerana itulah munculnya gerakan untuk menubuhkan the sekular state dan ia telah menjadi kenyataan sekarang.”

Lelaki itu mula memancing saya untuk berbual. Saya mengangguk. Ada juga mendengar cerita sebegitu. Lantaran Turki sendiri yang separuh daripada negaranya terletak di dalam benua Eropah dan separuhnya pula duduk di benua Asia. Isu sebegitu memang tidak dapat dielakkan.

“Mujur kami ada pemerintah yang berwibawa. Dulu ada Erbakan, seorang yang pro islamic, tapi tidak disayangi tentera, dijatuhkan secara kejam. Tapi ekonomi makin pulih selepas Bulent Ecevit mengambil alih. Orang Turki sudah mampu bernafas lega. Tak macam dulu lagi, selalu bergolak. Err... Dengar-dengar di Malaysia ada Mahathir. Bertuah kamu memilikki pemimpin sepertinya... Berwawasan!”

Saya cuma tersenyum walaupun hati kembang menyala dengan pujian itu.

“Taleban menyatukan agama dan politik.. Di Afghanistan, mereka berkuasa penuh. Maklumlah, tranformasi minda masih belum berkembang di sana. Mereka menganggap Mujahiddin sebagai laras senjata mereka untuk mengukuhkan ukhwah islamiah mereka. Tapi mereka silap. Ekstremis mereka itu yang membuatkan keadaan jadi kacau-bilau sebenarnya. Islam kini bukan lagi agama yang perlu mengangkat senjata berjuang memerangi kafir seperti di zaman Rasulullah. Segalanya terletak pada hati. Kafir atau Islam seseorang itu, hanya Allah yang menentukan..”

Saya hanya mengangguk-angguk. Dari reaksinya bercerita, saya akui, pengetahuannya luas dalam polemik politik Timur tengah. Rupa-rupanya sidang petang itu tak habis begitu saja. Saya mula merasakan gelodak hati untuk bertemu lagi dengan Zhinaen. Entahlah.. Tapi saya juga nampak gelodak itu dari sinar bening sepasang matanya yang cantik dan kebiruan itu... Lama kelamaan perhubungan kami menjadi semakin rapat, lantaran sering bertemu semasa dalam perjalanan ke universiti. Zhinaen memang seorang lelaki yang lemah-lembut, bersopan dan yang paling saya suka tentang dirinya, dia seorang yang berpegang teguh kepada agama.

Namun Safiah berulang kali menghalang hubungan yang semakin intim antara saya dan Zhinaen. Dia kerap merungut-rungut dalam bahasa yang saya sendiri tak faham. Tapi apa yang saya tahu, dia tidak sukakan hubungan antara saya dan Zhinaen. Hinggalah beberapa lama, Safiah jadi bosan untuk terus-terusan menegur saya...

Dan hubungan kami pun semakin berbunga.. Sehinggalah pada suatu petang yang begitu dingin, berguguran salju kemutih, walaupun sedikit, tapi terasa membekukan, Zhinaen menyatakan lamarannya kepada saya...

Sesuatu yang begitu mengejutkan....

*****


Setahun berlalu….

Selepas menjadi isteri kepada Zhinaen, saya berpindah dari bilik Safiah. Kami menetap di sebuah rumah sewa yang terletak agak jauh dari universiti. Zhinaen masih seperti dulu, lembut, romantis, panas dan menyegarkan. Saat membuka mata, terpandang wajahnya, hati saya jadi suam dengan pesona.

Hari demi hari menitip dalam kelambatan. Kalau hati mampu berbicara, saya pasti akan bercerita kepada semua orang tanpa membuka mulut. Terasa segan untuk menggerakkan mulut mengikut alun cerita saya. Biarlah ianya terus datang dari hati. Lebih ikhlas barangkali. Sebulan pertama saya benar-benar lemas dalam kebahagiaan yang diberikannya. Masuk bulan kedua, saya rasakan kehangatannya makin kurang. Bulan ketiga, saya sering ditinggalkan. Zhinaen bertabligh dari universiti ke universiti bersama teman-teman senegaranya. Bulan keenam dan seterusnya saya bertanya sendirian dalam hati...

‘Masihkah aku ini isterinya?’

Saat malam menjelang, dinginnya makin terasa, di tepian jendela, saya merenung di kejauhan, sambil mengusap-ngusap perut yang makin membesar, membulat, mengantung isi sebuah kontrak cinta antara saya dan dia.

Saya mula menghitung hari. Beberapa bulan lagi pengajian akan tamat. Saya perlu pulang ke Malaysia. Hati terdetik sekejap. Berakhirkah pernikahan ini? Apakah kontrak cinta kami telah berakhir? Saya cuba menelefon teman-temannya. Tapi kata mereka, Zhinaen bukan lagi pelajar di sana. Dia telah diberhentikan setahun yang lalu kerana aktif dalam gerakan Mujahiddin pimpinannya.

Mendengar berita itu, saya menangis tersedu-sedu. Salju dingin di luar jendela, tapi di dalam hati, ada bom jangka yang bakal meletup tidak lama lagi. Bulan ke tujuh saya mengambil keputusan nekad, keluar dari rumah. Pada Safiah saya sampaikan segala-galanya. Menangis tersedu-sedu dalam ribaannya, saya loloskan segala duka yang terpendam. Bagaikan dua menara KLCC telah runtuh, begitulah rasanya runtuh duka dan hiba saya bila bertemu dengan Safiah dan menceritakan segala-galannya kepadanya.

Safiah kelihatan terharu. Dia bingkas setelah saya agak tenang. Dibawanya sebuah kotak kepada saya. Dari kotak itu dikeluarkan sebuah album gambar. .

Saya belek album gambarnya dengan air mata yang masih berlinangan. Seketika saya terlopong. Mulut ternganga luas..

Safiah kesat air mata dan berkata dengan lembut kepada saya..

“Tanpa sedar, kita sebenarnya pernah bermadu.. . Zhinaen pernah menjadi suamiku...”


Bahasa Melayunya lancar, biarpun kerap tersasul. Ada luncuran air mata di kelopak mata Safiah. Walaupun perlahan, tapi tetap membasahi raut ayunya.

“Sebulan sebelum kedatanganmu, kami telah bernikah secara kontrak... Kontrak cinta..”


Dunia terasa bergegar. Dalam dada ada kawah gunung berapi. Di mata saya ada jalur lahar yang mengalir. Di jiwa saya, tergantung sebuah kantung harapan, yang sudah carik pangkalnya...

****

“Sudah lama menanti?”

Saya mengangkat wajah. Bibir terasa kebas kerana cuaca terlalu dingin. Butir-butir salju tiba-tiba saja berguguran. Saya berpeluk tubuh. Hadapan Heatrow masih sibuk dengan kenderaan ketika saya bingkas dan mendekatinya.

“Safiah.....”

Kami berdakapan hiba.

“Mari..”

Safiah masih seperti setahun yang lalu. Wajahnya masih manis dan ayu. Tapi di sepasang matanya, ada bening yang terkumpul. Saya mengikutnya ke kereta. Sebuah Chevrolet yang agak lama dan usang dipandu perlahan. Safiah memegang lengan saya.

“Bagaimana dengan keadaamu?”

Saya mengangguk sambil cuba menahan air mata dari jatuh seperti Safiah. Lagipun sudah berjanji. Saya tidak akan menangis di sini. Sudah puas saya menangis di Malaysia. Dan kini, segala tangisan itu saya tinggalkan di sana.

“Di mana Zhinaen?”

Safiah mengulum bibir mungilnya. Saya menjeling sekejap ke arahnya.

“Aku perlu bertemu dengannya..”

“Bagaimana dengan anakmu?”

Saya tersentak. Kenapa harus diingatkan pada Fatini? Cukuplah derita yang dilalui di Malaysia. Saya menarik nafas, menghentikan air mata yang telah bertakung...
Saya pejam mata. Ahh!! Terlalu emosinal pulak rasanya diri ini. Bukankah saya telah berjanji tidak mahu bersedih hati lagi?

“Di mana Zhinean?”

Safiah seperti melepaskan nada kecewanya. Dia berpaling sekilas dan menggeleng. “Kamu tahu bukan perangainya?”

Saya kerutkan dahi.

“Dia di Turki.. Kau pun pernah senasib denganku. Kontrak kami telah lama berakhir..”

Chevrolet yang dipandu Safiah berjajar tenang. Dari situ hati saya kembali di laut duka. Ada pilu di hujung bicara Safiah. Saya menggenggam jari jemarinya, erat.

“Sabarlah..”

Safiah senyum lalu geleng.

“Aku kuat bila teringatkan kau... .”

Saya mengangguk. Safiah melukiskan kembali senyuman di kanvas wajahnya. Saya turut sama tersenyum.

“Oh ya.. Bagaimana anakmu? Sihatkah dia?”

Saya merasakan terhurung kembali dengan pertanyaan itu. Saya tersenyum duka.

“Anakku telah meninggal bulan lepas. Kerana itu aku datang ke sini. Aku ingin mengabarkan pada ayahnya..”

Safiah memberhentikan Chevroletnya dipingir Tower Bridge. Pandangan dihalakan ke sungai Thames yang likat airnya.

“Maafkan aku... Bagaimana boleh terjadi begitu?”

Saya menggeleng. Tak ingin meneruskan cerita duka Fatini yang lahir tak cukup bulan. Lima bulan selepas pulang ke tanahair, saya melahirkan. Tapi Tuhan mentakdirkan, Fatini tak dapat hidup lama. Dua bulan selepas dilahirkan, Fatini dijemput wahyu ajalnya. Air mata tiba-tiba kembali menakung.

Safiah memahami perasaan saya, terus menghidupkan enjin kereta dan membawa Chevroletnya berjajaran dari situ. Mata saya masih pada Sungai Thames yang berbau lumpur. Safiah mencapai jari jemari saya lalu senyum.

“Kita ke rumahku. Di sana kau boleh melihat Fikret. Wajahnya persis Zhinaen. Barangkali boleh menghilangkan rindumu pada keduanya..”

Saya tersentak lalu mengerutkan dahi.

Keduanya? Safiah tersenyum memandang saya.

“Maksudku, Zhinaen dan arwah anakmu itu...”

Saya tersenyum, menggangguk, dan benar-benar kedatangan kedua saya di bumi England ini tidak lagi dihurungi duka. Ceritanya telah berakhir, dan itulah impian saya sewaktu memijak tangga kapalterbang lagi...

Syukur!

TAMAT

Hakcipta adalah terpelihara-KHAIRUL ASWAD RAMLI.
Sebarang unsur plagiat, menerbitkan semula dan yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.

Sunday, October 25, 2009

Ceritera Di Sebalik Cerita

Tujuan blog ini aku wujudkan adalah untuk mencari, mengupas dan berkongsi cerita cerita tentang kesedihan, kesusahan dan kejayaan seseorang yang mungkin hanyalah insan biasa di mata masyarakat, tapi mungkin dia adalah hero ataupun maharani bagi mereka yang mengenalinya. Mungkin selama ini kita tak sedar ada di kalangan mereka mereka yang begitu hebat jalan hidupnya, tapi tak pernah sesekali kita ketengahkan. Mencari melalui pendekatan yang berbeza, dan cuba untuk menyelami apa itu erti kesusahan, hanyalah sekadar untuk memuhasabahkan diri sendiri supaya lebih sabar dalam hidup, supaya lebih rajin mencari pahala, dan supaya lebih tabah untuk berjaya menjadi manusia.

Dalam melayari kehidupan, sememangnya kita akan kehilangan sesuatu dalam mencari sesuatu. Samada kita sedar ataupun tidak, itulah realitinya. Jika harta yang menjadi hambatan, mungkin kita akan hilang kebahagiaan dan begitulah sebaliknya.

Luka, pedih, sakit, gembira, ceria, menangis, ketawa adalah teman setiap manusia. setiap hari emosi kita akan berubah ubah. Dan itulah yang sebenarnya yang menjadikan kehidupan kita begitu indah, berwarna warni dan menjadi kenangan terindah yang akan dibawa bersama hingga ke akhir hayat.

Sebenarnya inilah impianku, bercerita tentang kedukaan, kesakitan, keperitan melalui hujung lensa kameraku, agar foto itu sendiri dapat berkata kata tentang kesakitan yang mereka sedang lalui. Dan aku akan menyambung rentetan kelukaan itu dengan hujung pena ku pula agar dapat aku coretkan dengan perkataan penderitaan mereka. Semoga semua itu memberikan impak kepada diri aku agar dapat melihat dunia ini dengan lebih luas dan lebih tinggi lagi.