Penerbangan Malaysia meluncur tenang di ruang angkasa. Sambil itu saya membelek-belek beberapa majalah yang dibawa bersama dari Kuala Lumpur. Henjut kapal terbang terasa sedikit, tapi tidak sampai menganggu emosi. Terlanggar awan kemutih barangkali. Saya tersenyum sendirian. Namun mujur gegar tadi telah berakhir, walaupun kesannya masih terasa. Dada terasa mual dan resah masih menyerkup jiwa. Mata terpejam seketika, sengaja mahu membuai perasaan yang berkelodak di dasarnya. Hingga saat kapalterbang mendarat di Heathrow saya tidak tersedar. Mengelamun dengan pelbagai kenangan yang bagaikan mengetuk-ngetuk pintu memori. Mujur kapalterbang menghenjut lagi ketika mendarat, barulah saya terjaga.
Ruang Heathrow International Airport yang luas menggamit rasa. Lapangan terbang yang tak pernah sunyi dengan penerbangan yang mendarat dari serata pelusuk dunia itu saya jejaki dengan perasaan yang berbaur-baur.
Saya mengenakan leather coat coklat tua. Terasa kedinginan yang mencengkam dan terfikir harus segera mendapatkan Heathrow Express, tren pengangkut terpantas yang menghubungkan Heathrow dengan Paddington. Dengan bayaran 12 pound sterling saya akan dapat tiba awal di Paddington. Oleh kerana itu saya lebih gemar memilih Heathrow Express lantaran saya sendiri sudah biasa di sini sebelum ini. Kerana itulah Kotaraya London ini tidak begitu asing bagi saya..
Namun di hadapan Heathrow, saya menjadi gamam. Ke mana kaki hendak dibawa? Perlukah saya terus bertemu dengannya? Apa pula katanya nanti...? Mahu terus menyerbu begini? Pelbagai cerita melayang dalam medula kepala. Sekarang mungkin saya masih tenang, bibir masih mampu melukis senyuman. Tapi bagaimana bila bertemu nanti? Tidak tercalarkah emosi ini? Tidak tergugatkah ketenangan? Mampukah ditahan air mata dari jatuh walhal ketika di Malaysia saya sudah berjanji, jangan ada air mata yang jatuh di bumi England ini. Mampukah kata-kata itu dikotakan. Saat ini berbaur rasa ingin pulang saja ke Malaysia.. Akhirnya saya terduduk di sebuah kerusi besi unik berukir yang terletak di sebuah taman berhampiran Heathrow.. Membiarkan fikiran bergeluyur dengan kenangan yang membujur lalu, bertakung dalam kelopak minda...
****
“Kamu dari Malaysia?”
Saya mengangguk dalam keadaan serba-salah. Tiba-tiba saja lelaki berwajah bersih, persis Arabian itu menegur saya. Saya memerhati sekeliling. Mungkin ketua pelajar di sini barangkali. Dalam dada saya melafazkan syukur. Dalam suasana asing sebegini, saya perlukan seseorang untuk memandu arah. Melihatkan wajah saya yang cemas dan resah barangkali, lelaki itu terus mengenalkan diri.
“Saya Presiden Pelajar Luar di universiti ini.”
Saya memerhatikan wajah lelaki itu. Bahasa Melayunya fasih walaupun lidahnya masih berbelit longhat Timur Tengah. Itulah yang membuatkan saya tergamam sejenak. Lalu mengangguk.
“Saya Zhinaen. Awak..??”
“Nur... Nuraine.”
Saya menyambut salamannya yang beralaskan sehelai sapu tangan. Sekali lagi saya tergamam. Ditambah dengan senyuman dari wajahnya yang bersih. Saya makin gementar. Tak tahu apa yang bermain di hati.
****
****
Teman sebilik saya, Safiah yang berasal dari Lubnan, agak baik perwatakannya, bertudung litup seperti saya juga, walaupun agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Melayu, malah bahasa Inggeris juga tidak selancar, tapi dia terlalu ramah untuk menegur saya. Kadang-kadang keluar bahasa yang saya sendiri tidak faham. Mungkin Bahasa Lubnan barangkali.
Kami ditempatkan di sebuah kondominium di Somerset House, berhampiran Lancester Street yang selalu sibuk. Itupun atas usaha Zhinaen. Dialah yang bersusah payah mencarikan saya sebuah bilik sewaan yang murah.
Daripada Safiah, saya mengetahui serba-sedikit berkenaan universiti yang bakal saya duduki ini. Dan juga serba-sedikit tentang Zhinaen. Entah mengapa lelaki itu acapkali bergeluyur dalam ruang fikir saya. Namun wajah Safiah berubah apabila saya menyoal tentang Zhinaen. Seperti ada yang tak kena.
“Kamu kenal Zhin?”
Saya mengangguk.
“Jangan..”
Safiah menggeleng-gelengkan kepalanya seperti memberi isyarat sesuatu kepada saya.
“Kenapa?”
“He’s dangerous..”
Walaupun sedikit tersentak, tapi saya tertawa dengan jawapan Safiah. Dalam hati menyimpulkan itu cuma jenaka Safiah. Barangkali gadis itu juga menyimpan perasaan pada lelaki itu? Ahh!! Terlalu awal untuk meneka....
****
Sebuah surau yang dibina di kawasan kondo yang menempatkan para pelajar ini sentiasa dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang rata-ratanya dari timur tengah. Cuma saya dari Malaysia.
“Assalamualaikum..”
Saya tersentak bila tiba-tiba saja ada suara yang memberi salam kepada saya. Zhinaen yang berketayap putih sedang tersenyum dibelakang saya. Saya berpaling. Safiah terus berubah wajah. Dia cuba menarik lengan saya supaya segera berlalu dari situ.
Menyedari yang saya enggan mengikutnya, dia segera berlalu. Saya menjadi hairan dengan sikap Safiah. Seperti ada yang tak kena dengan gadis itu. Setelah Safiah berlalu, Zhinaen mempelawa saya duduk dan berbual-bual dengannya. Dan daripada perbualan itulah saya mengetahui yang dia berasal daripada Istanbul, ibu negara Turki. Leka sekejap berbual-bual dengannya. Isu di Timur Tengah terburai keluar. Taleban yang begitu provokasi dengan anutan pure Islamiahnya kata Zhinaen, begitu menyesakkan. Sampai mereka digelarkan The Islamic Treat. Kafir dipandang hina, masyarakat Islam terkongkong dalam dunia tersendiri. Taleban anggap semua benda di luar ruang lingkup pemerintahan mereka haram belaka. Teringat pula di Malaysia. Kelantan digelar serambi Mekah, tapi pemimpinnya asyik bercakaran. Mana mungkin menjadi sebuah negeri Islam yang sempurna.
“Kami orang Islam di Turki hidup tidak seperti orang Islam di Malaysia. Seperti yang anda tahu, orang Turki kebanyakkannya tidak mahu mengakui yang mereka adalah sebenarnya orang Asia. Mereka kata mereka orang Eropah… Kerana itulah munculnya gerakan untuk menubuhkan the sekular state dan ia telah menjadi kenyataan sekarang.”
Lelaki itu mula memancing saya untuk berbual. Saya mengangguk. Ada juga mendengar cerita sebegitu. Lantaran Turki sendiri yang separuh daripada negaranya terletak di dalam benua Eropah dan separuhnya pula duduk di benua Asia. Isu sebegitu memang tidak dapat dielakkan.
“Mujur kami ada pemerintah yang berwibawa. Dulu ada Erbakan, seorang yang pro islamic, tapi tidak disayangi tentera, dijatuhkan secara kejam. Tapi ekonomi makin pulih selepas Bulent Ecevit mengambil alih. Orang Turki sudah mampu bernafas lega. Tak macam dulu lagi, selalu bergolak. Err... Dengar-dengar di Malaysia ada Mahathir. Bertuah kamu memilikki pemimpin sepertinya... Berwawasan!”
Saya cuma tersenyum walaupun hati kembang menyala dengan pujian itu.
“Taleban menyatukan agama dan politik.. Di Afghanistan, mereka berkuasa penuh. Maklumlah, tranformasi minda masih belum berkembang di sana. Mereka menganggap Mujahiddin sebagai laras senjata mereka untuk mengukuhkan ukhwah islamiah mereka. Tapi mereka silap. Ekstremis mereka itu yang membuatkan keadaan jadi kacau-bilau sebenarnya. Islam kini bukan lagi agama yang perlu mengangkat senjata berjuang memerangi kafir seperti di zaman Rasulullah. Segalanya terletak pada hati. Kafir atau Islam seseorang itu, hanya Allah yang menentukan..”
Saya hanya mengangguk-angguk. Dari reaksinya bercerita, saya akui, pengetahuannya luas dalam polemik politik Timur tengah. Rupa-rupanya sidang petang itu tak habis begitu saja. Saya mula merasakan gelodak hati untuk bertemu lagi dengan Zhinaen. Entahlah.. Tapi saya juga nampak gelodak itu dari sinar bening sepasang matanya yang cantik dan kebiruan itu... Lama kelamaan perhubungan kami menjadi semakin rapat, lantaran sering bertemu semasa dalam perjalanan ke universiti. Zhinaen memang seorang lelaki yang lemah-lembut, bersopan dan yang paling saya suka tentang dirinya, dia seorang yang berpegang teguh kepada agama.
Namun Safiah berulang kali menghalang hubungan yang semakin intim antara saya dan Zhinaen. Dia kerap merungut-rungut dalam bahasa yang saya sendiri tak faham. Tapi apa yang saya tahu, dia tidak sukakan hubungan antara saya dan Zhinaen. Hinggalah beberapa lama, Safiah jadi bosan untuk terus-terusan menegur saya...
Dan hubungan kami pun semakin berbunga.. Sehinggalah pada suatu petang yang begitu dingin, berguguran salju kemutih, walaupun sedikit, tapi terasa membekukan, Zhinaen menyatakan lamarannya kepada saya...
Sesuatu yang begitu mengejutkan....
*****
Setahun berlalu….
Selepas menjadi isteri kepada Zhinaen, saya berpindah dari bilik Safiah. Kami menetap di sebuah rumah sewa yang terletak agak jauh dari universiti. Zhinaen masih seperti dulu, lembut, romantis, panas dan menyegarkan. Saat membuka mata, terpandang wajahnya, hati saya jadi suam dengan pesona.
Hari demi hari menitip dalam kelambatan. Kalau hati mampu berbicara, saya pasti akan bercerita kepada semua orang tanpa membuka mulut. Terasa segan untuk menggerakkan mulut mengikut alun cerita saya. Biarlah ianya terus datang dari hati. Lebih ikhlas barangkali. Sebulan pertama saya benar-benar lemas dalam kebahagiaan yang diberikannya. Masuk bulan kedua, saya rasakan kehangatannya makin kurang. Bulan ketiga, saya sering ditinggalkan. Zhinaen bertabligh dari universiti ke universiti bersama teman-teman senegaranya. Bulan keenam dan seterusnya saya bertanya sendirian dalam hati...
‘Masihkah aku ini isterinya?’
Saat malam menjelang, dinginnya makin terasa, di tepian jendela, saya merenung di kejauhan, sambil mengusap-ngusap perut yang makin membesar, membulat, mengantung isi sebuah kontrak cinta antara saya dan dia.
Saya mula menghitung hari. Beberapa bulan lagi pengajian akan tamat. Saya perlu pulang ke Malaysia. Hati terdetik sekejap. Berakhirkah pernikahan ini? Apakah kontrak cinta kami telah berakhir? Saya cuba menelefon teman-temannya. Tapi kata mereka, Zhinaen bukan lagi pelajar di sana. Dia telah diberhentikan setahun yang lalu kerana aktif dalam gerakan Mujahiddin pimpinannya.
Mendengar berita itu, saya menangis tersedu-sedu. Salju dingin di luar jendela, tapi di dalam hati, ada bom jangka yang bakal meletup tidak lama lagi. Bulan ke tujuh saya mengambil keputusan nekad, keluar dari rumah. Pada Safiah saya sampaikan segala-galanya. Menangis tersedu-sedu dalam ribaannya, saya loloskan segala duka yang terpendam. Bagaikan dua menara KLCC telah runtuh, begitulah rasanya runtuh duka dan hiba saya bila bertemu dengan Safiah dan menceritakan segala-galannya kepadanya.
Safiah kelihatan terharu. Dia bingkas setelah saya agak tenang. Dibawanya sebuah kotak kepada saya. Dari kotak itu dikeluarkan sebuah album gambar. .
Saya belek album gambarnya dengan air mata yang masih berlinangan. Seketika saya terlopong. Mulut ternganga luas..
Safiah kesat air mata dan berkata dengan lembut kepada saya..
“Tanpa sedar, kita sebenarnya pernah bermadu.. . Zhinaen pernah menjadi suamiku...”
Bahasa Melayunya lancar, biarpun kerap tersasul. Ada luncuran air mata di kelopak mata Safiah. Walaupun perlahan, tapi tetap membasahi raut ayunya.
“Sebulan sebelum kedatanganmu, kami telah bernikah secara kontrak... Kontrak cinta..”
Dunia terasa bergegar. Dalam dada ada kawah gunung berapi. Di mata saya ada jalur lahar yang mengalir. Di jiwa saya, tergantung sebuah kantung harapan, yang sudah carik pangkalnya...
****
“Sudah lama menanti?”
“Sudah lama menanti?”
Saya mengangkat wajah. Bibir terasa kebas kerana cuaca terlalu dingin. Butir-butir salju tiba-tiba saja berguguran. Saya berpeluk tubuh. Hadapan Heatrow masih sibuk dengan kenderaan ketika saya bingkas dan mendekatinya.
“Safiah.....”
Kami berdakapan hiba.
“Mari..”
Safiah masih seperti setahun yang lalu. Wajahnya masih manis dan ayu. Tapi di sepasang matanya, ada bening yang terkumpul. Saya mengikutnya ke kereta. Sebuah Chevrolet yang agak lama dan usang dipandu perlahan. Safiah memegang lengan saya.
“Bagaimana dengan keadaamu?”
Saya mengangguk sambil cuba menahan air mata dari jatuh seperti Safiah. Lagipun sudah berjanji. Saya tidak akan menangis di sini. Sudah puas saya menangis di Malaysia. Dan kini, segala tangisan itu saya tinggalkan di sana.
“Di mana Zhinaen?”
Safiah mengulum bibir mungilnya. Saya menjeling sekejap ke arahnya.
“Aku perlu bertemu dengannya..”
“Bagaimana dengan anakmu?”
Saya tersentak. Kenapa harus diingatkan pada Fatini? Cukuplah derita yang dilalui di Malaysia. Saya menarik nafas, menghentikan air mata yang telah bertakung...
Saya pejam mata. Ahh!! Terlalu emosinal pulak rasanya diri ini. Bukankah saya telah berjanji tidak mahu bersedih hati lagi?
Saya pejam mata. Ahh!! Terlalu emosinal pulak rasanya diri ini. Bukankah saya telah berjanji tidak mahu bersedih hati lagi?
“Di mana Zhinean?”
Safiah seperti melepaskan nada kecewanya. Dia berpaling sekilas dan menggeleng. “Kamu tahu bukan perangainya?”
Saya kerutkan dahi.
“Dia di Turki.. Kau pun pernah senasib denganku. Kontrak kami telah lama berakhir..”
Chevrolet yang dipandu Safiah berjajar tenang. Dari situ hati saya kembali di laut duka. Ada pilu di hujung bicara Safiah. Saya menggenggam jari jemarinya, erat.
“Sabarlah..”
Safiah senyum lalu geleng.
“Aku kuat bila teringatkan kau... .”
Saya mengangguk. Safiah melukiskan kembali senyuman di kanvas wajahnya. Saya turut sama tersenyum.
“Oh ya.. Bagaimana anakmu? Sihatkah dia?”
Saya merasakan terhurung kembali dengan pertanyaan itu. Saya tersenyum duka.
“Anakku telah meninggal bulan lepas. Kerana itu aku datang ke sini. Aku ingin mengabarkan pada ayahnya..”
Safiah memberhentikan Chevroletnya dipingir Tower Bridge. Pandangan dihalakan ke sungai Thames yang likat airnya.
“Maafkan aku... Bagaimana boleh terjadi begitu?”
Saya menggeleng. Tak ingin meneruskan cerita duka Fatini yang lahir tak cukup bulan. Lima bulan selepas pulang ke tanahair, saya melahirkan. Tapi Tuhan mentakdirkan, Fatini tak dapat hidup lama. Dua bulan selepas dilahirkan, Fatini dijemput wahyu ajalnya. Air mata tiba-tiba kembali menakung.
Safiah memahami perasaan saya, terus menghidupkan enjin kereta dan membawa Chevroletnya berjajaran dari situ. Mata saya masih pada Sungai Thames yang berbau lumpur. Safiah mencapai jari jemari saya lalu senyum.
“Kita ke rumahku. Di sana kau boleh melihat Fikret. Wajahnya persis Zhinaen. Barangkali boleh menghilangkan rindumu pada keduanya..”
Saya tersentak lalu mengerutkan dahi.
Keduanya? Safiah tersenyum memandang saya.
“Maksudku, Zhinaen dan arwah anakmu itu...”
Saya tersenyum, menggangguk, dan benar-benar kedatangan kedua saya di bumi England ini tidak lagi dihurungi duka. Ceritanya telah berakhir, dan itulah impian saya sewaktu memijak tangga kapalterbang lagi...
Syukur!
TAMAT
TAMAT
Hakcipta adalah terpelihara-KHAIRUL ASWAD RAMLI.
Sebarang unsur plagiat, menerbitkan semula dan yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.

No comments:
Post a Comment